Wednesday, November 25, 2015

Pantai popular di Kelantan

PANTAI CAHAYA BULAN

Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan kerana ia merupakan lokasi pelancongan yang dekat dengan bandar Kota Bharu, kira-kira 10 km sahaja. Pantai ini semestinya paling popular bagi penduduk sekitar Kota Bharu dan antara destinasi pilihan yang paling mudah diakses.
Pantai ini dahulunya dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.
Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Uniknya pantai ini adalah mempunyai kawasan pesisir pantai yang panjang. Kemudahan yang selesa seperti kedai makan, gerai, tandas awam dan surau juga disediakan kepada para pengunjung.
Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional. Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.
Jika anda belum pernah menjejakkan kaki ke pantai ini, wajib datang ke sini jika anda menginap di sekitar Kota Bharu.
Tip:
1. Disepanjang jalan dari KB ke PCB terdapat banyak gerai yang menjual jagung rebus. Jangan lupa untuk membeli jagung rebus untuk di makan di PCB. Menikmati jagung panas sambil melihat keindahan pantai lebih memberi kepuasan dan menjimatkan poket.
2. Harga makanan seperti seafood dan fishball celup tepung di sini agak mahal. Beli lah dalam kuantiti yang sedikit sebagai langkah berjimat.
3. Kedai paling hujung yang paling dekat dengan pantai menjadi kegemaran penduduk tempatan kerana lebih murah dari kedai-kedai lain.
4. Jika ingin makan, pilihlah kedai yang bersih.

PANTAI TOK BALI

Terdapat pelbagai cerita tentang asal nama pantai ini, yang paling popular ialah dimana seorang nelayan berasal dari Bali, Indonesia yang memasuki perairan pantai Kelantan dengan perahu yang karam sebelum terdampar di pesisiran. Penduduk tempatan yang tinggal berhampiran menemuinya dan mempelawa nelayan dari Bali tersebut tinggal di situ untuk beberapa tahun sebelum kembali ke Bali. Dari situlah, kawasan tersebut di beri nama Tok Bali, yang merujuk kepada nelayan dari Bali, Indonesia. Sejauh mana kesahihan, tidak dapat dipastikan Pantai Tok Bali terkenal dengan kelebihannya yang tersendiri.
Tok Bali terkenal dengan terminal pendaratan ikan segar hasil tangkapan nelayan tempatan. Sebut sahaja Tok Bali, ramai warga Kelantan yang mengakui kesegaran hasil laut yang ditangkap nelayan tempatan dan hasil tangkapan juga dijual dengan harga yang berpatutan.
Selain itu, Tok Bali merupakan destinasi pelancongan yang menarik. Antara landmark utama ialah replika kapal serta jambatan melengkung kira-kira 300 meter panjang dan tinggi 100 meter bagi membolehkan bot nelayan melaluinya. Di kawasan pesisir pantai sepanjang kuala sungai itu juga merupakan lokasi sesuai untuk berkelah bersama keluarga. Pesisir pantai yang cantik disaluti pasir yang putih serta landai semestinya menarik pengunjung untuk bercuti merehatkan minda.
Ia bukan sahaja menjadi tumpuan bagi penduduk tempatan malah menjadi kemestian bagi pelancong asing untuk menikmati keindahan pantai di Tok Bali. Terdapat banyak rumah tumpangan atau resort yang indah di sepanjang pantai tok bali. Resort dan rumah tumpangan ini semua berada di pesisir pantai mengadap Laut Cina Selatan
Dari Kota Bharu Kelantan : Perjalanan dari bandar Kota Bharu ke Tok Bali mengambil masa 45 minit pemanduan dengan jarak 45 km melalui Bachok atau Pasir Puteh.

PANTAI IRAMA BACHOK

Pantai Irama terletak di pinggir Bandar Bachok dan merupakan tempat kunjungan utama penduduk Daerah Bachok dan juga penduduk Negeri Kelantan khususnya.
Pantai Irama amat meriah pada hujung minggu. ia amat sesuai untuk perkelahan keluarga dan mandi pantai. Pihak berwajib telah membina tambak batu melengkung bagi mengelakkan hakisan dari berlaku. Struktur permukaan dasar laut yang cetek dan ombak yang tidak kuat yang menjadikan kawasan ini lebih selamat untuk mandi-manda bersama keluarga dan anak kecil.
Terdapat pelbagai infrastruktur yang disediakan dikawasan pantai seperti gerai jualan, tandas awam, surau, wakaf, tempat letak kerata yang sistematik, dataran, tempat menyalin pakaian dan taman permainan kanak-kanak.
Hanya di Pantai Irama terdapat pelbagai aktiviti berbayar menarik di hujung minggu untuk semua pelawat seperti; Banana Boat, ATV, Kereta Kuda, Basikal.
Dari Kota Bharu : Perjalanan dari bandar Kota Bharu ke Pantai Irama mengambil masa 30 minit pemanduan dengan jarak 20km melalui Kota Bharu-Tawang-Bachok. Jalan masuk ke pantai irama boleh diakses sehingga di tepi pantai.

PANTAI SRI TUJUH

Pantai Sri Tujuh terletak di Tumpat,Kelantan. Ia dinamakan Pantai Sri Tujuh kerana pembentukan 7 buah teluk/lagun di sini. Ia merupakan kawasan rekreasi yang menarik kepada pengunjung terutama dari Kelantan. Pantai Sri Tujuh berhampiran dengan Pengkalan Kubur dan Stesen keretapi Tumpat.
Tarikan utamanya bagaimanapun terletak pada fenomena tujuh teluk yang tidak boleh didapati di tempat lain. Daripada sebuah pantai yang sebelum ini pernah diancam hakisan teruk, pemandangan semulajadinya berubah menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar.
Lebih menarik apabila melihat kesibukan bot nelayan yang berlepas ke laut dalam untuk mencari rezeki. Waktu malam di sini bagai bermandi cahaya dengan deruan bunyi bot nelayan yang berlabuh selepas beberapa hari di laut.
Hari minggu adalah waktu paling sesak di sini apabila pelawat membanjiri kawasan pantai. Kawasan pantainya yang luas juga membolehkan pelbagai aktiviti kekeluargaan seperti sukaneka dan perhimpunan keluarga diadakan. Kedudukan pantai itu di kawasan teluk turut menjadikan perairannya begitu tenang dan sesuai untuk pelbagai aktiviti sukan air termasuk bermain bola tampar, berenang atau berkhemah.
Chalet terapung umpamanya memberikan anda pemandangan indah perkampungan nelayan berdekatan. Bayu laut yang bertiup lembut memberikan udara nyaman tanpa perlu menggunakan penghawa dingin.
Pesisir pantai yang cantik dan tenang ini sangat sesuai untuk kawasan rekreasi keluarga, rombongan dan tempat kursus. Ia dibangunkan oleh pihak Majlis Daerah Tumpat dengan prasarana dan kemudahan seperti chalet, asrama, taman permainan, tandas awam, kedai makan, restoran, dewan serbaguna dan masjid.
Dari Kota Bharu : Perjalanan dari bandar Kota Bharu ke Tumpat mengambil masa 20minit pemanduan dengan jarak 15km.
kredit:caridestinasi.com, mdbachok.gov.my,cutikelantan.com

Saturday, November 21, 2015

Destinasi Membeli-belah terbaik di Kota Bharu

PASAR BESAR SITI KHADIJAH
Pasar Besar Siti Khadijah adalah ikon pelancongan dan simbol membeli-belah terutamanya pakaian dan barangan dapur bagi kebanyakan pelancong dan penduduk setempat. Pasar ini beroperasi seawal 7.00 pagi hingga 6.00 petang sangat meriah di hari minggu dan cuti sekolah. Penduduk sekitar Kota Bharu juga sering ke sini untuk membeli barangan asas dan keperluan dapur. Kedudukan yang amat strategik di pusat Bandar Kota Bharu memudahkan para pengunjung untuk bertandang.
Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walaubagaimanapun ia telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya dimonopoli oleh kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga .
Pasar ini mempunyai 4 tingkat dan berbentuk segi lapan (oktagon). 
  • Tingkat bawah - untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. 
  • Tingkat 1 - barangan makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat pelbagai makanan seperti ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam yang merupakan makanan yang paling "tersohor" bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti kuih "tahi itik, akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. 
  • Tingkat 2&3 - barangan bukan makanan. pakaian, kain batik dan sebagainya. 

Jika menginap di sekitar bandar Kota Bharu, pasar ini wajib dilawati. Malah, boleh berjalan kaki sahaja jika menginap di hotel-hotel yang berdekatan. Kemudahan ATM seperti BSN dan Maybank terdapat berdekatan dengan pasar ini.

BAZAR TOK GURU
Bazar Tok Guru adalah tempat membeli-belah terbaru di Kelantan yang mula beroperasi pada pertengahan tahun 2011. Bazar Tok Guru bakal merupakan mercu tanda terkini di Kota Bharu.Bazar ini terletak di Jalan Sultan Ibrahim Kota Bharu iaitu bersebelahan dengan Balai Polis Kota Bharu dan berhampiran UiTM Kampus Kota Bharu. Kewujudan bazar ini adalah menggantikan pasar MPKB dan Arked UDA yang dirobohkan. Sebahagian besar peniaga di pasar MPKB dan UDA telah berpindah ke Bazar Tok Guru ini.
Bazar Tok Guru bakal merupakan mercu tanda terkini di Kota Bharu. Ia dibina dengan konsep bercirikan Islam. Rekabentuk bangunan seperti kubah dan gerbang masuk diambil dari rekabentuk masjid di Mekah dan Madinah.
Pelbagai kemudahan yang disediakan di Bazar Tok Guru ini. Antaranya adalah:

  • Tingkat Bawah – Lot-lot perniagaan.
  • Tingkat 1 & 2 – Lot-lot Bazar berjumlah lebih 400 unit.
  • Kemudahan tempat letak kereta di tingkat semi basemen.
  • 4 pintu masuk utama.
  • Tempat letak bas pelancong.
  • Perhentian pengangkutan awam seperti bas, teksi dan beca.
  • Kaunter Penerangan Pelancong.
  • Kemudahan bank dan mesin ATM.


Jika anda sedang bercuti di Kelantan, wajib singgah di Bazar Tok Guru untuk membeli pelbagai jenis pakaian seperti tudung bawal asli, kain sembahyang, kain batik dan sebagainya kerana harga di sini antara yang termurah di Kelantan. Pendek kata, semua ada. Malah sesetengah dari penduduk tempatan mengatakan Bazar Tok Guru adalah syurga membeli-belah terbaru di Kelantan dengan tawaran harga yang murah.

Tip shopping di Bazar Tok Guru:

  • Terdapat perbezaan harga antara kedai-kedai di sini. Oleh itu, survey terlebih dahulu harga di setiap kedai sebelum membeli dan jangan lupa tawar menawar. Kebanyakan peniaga di sini sangat ramah dan mudah untuk berurusniaga.
  • Jika berpuas hati dengan penjual dan harganya, minta sahaja kad perniagaan mereka atau dapatkan nombor kedai supaya mudah untuk anda kembali membeli di kedai tersebut di kemudian hari.
  • Tudung bawal asli boleh dibeli dengan harga borong jika dibeli dalam kuantiti yang banyak. Jadi sedikit sebanyak anda boleh menjana keuntungan jika dijual kepada rakan pejabat atau kenalan dengan harga pasaran terutamanya kepada orang luar Kelantan.
  • Di sini, pengunjung dapat memperoleh barangan kraf seperti kasut buatan tangan, replika alat muzik miniatur, wau yang berwarna-warni, beg-beg, barangan perak yang cantik, aksesori dan pelbagai jenis barangan yang lain. Harga yang berpatutan di sini menjadikan bazar ini amat popular dikalangan penduduk tempatan dan juga pelancong luar.



BAZAR BULUH KUBU
Bazar Buluh Kubu terletak bersebelahan dengan Pasar Besar Siti Khadijah. Mengunjungi kompleks membeli-belah tiga tingkat ini menjadi kemestian bagi mereka yang gemar membeli-belah dan mengumpul barangan kraf.

Di sini, pengunjung dapat memperoleh barangan kraf seperti kasut buatan tangan, replika alat muzik miniatur, wau yang berwarna-warni, beg-beg, barangan perak yang cantik, aksesori dan pelbagai jenis barangan yang lain. Harga yang berpatutan di sini menjadikan bazar ini amat popular dikalangan penduduk tempatan dan juga pelancong luar.

PASAR BORONG WAKAF CHE YEH
Wakaf Che Yeh adalah sebuah pasar malam terbuka yang terletak kira-kira 4km di luar bandar Kota Bharu. Mempunyai keluasan suku ekar, ia adalah tempat untuk membeli makanan ringan tempatan, buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta makanan laut. Terdapat juga deretan warung peniaga yang menjual aneka pakaian lelaki dan juga pakaian wanita.

Wakaf Che Yeh beroperasi sepanjang masa dengan fungsi yang berbeza-beza ia merupakan pasar borong di waktu pagi, pasar basah/barngan asas diwaktu siang dan berubah menjadi pasar malam yang menjual pelbagai jenis barangan pula setelah matahari terbenam.

Pasar malam Wakaf Che Yeh ini adalah sebenarnya sebuah pasar malam biasa. Ya, pasar malam yang boleh dikatakan sangat meriah kerana terlalu ramai yang datang ke sini dan ia dibuka sehingga lewat malam. Pada hujung minggu pasar ini dibuka sehingga jam 2-3 pagi dan pada musim menjelang Hari Raya, ia dibuka sehingga subuh. Pada waktu inilah, ramai penduduk tempatan yang sanggup menunggu harga runtuh yang ditawarkan peniaga yang hendak menghabiskan stok barangan menjelang pagi raya. Saksikanlah situasi tawar-menawar dan teriakan peniaga-peniaga mempromosikan barangan jualan mereka sembil berbual mesra sesama sendiri.

Sebagai simbol pelancongan, pihak Kerajaan Negeri telah melakukan banyak pembangunan prasarana di kawasan pasar ini seperti penambahbaikan kawasan pasar, pembukaan hotel-hotel baru, bangunan-bangunan perniagaan dan kedai-kedai makan. Malah Restoran McDonald dan stesen minyak yang berdekatan juga turut diwujudkan.

Jika masuk melalui pintu gerbang dengan kenderaan, pihak Sensatimur akan mengenakan bayaran RM2 untuk setiap kali masuk. Pada waktu malam, anda dinasihatkan tidak masuk melalui pintu gerbang untuk mengelakkan kesesakan. Seeloknya parking diluar jika jem teruk, ataupun alternatif adalah parking di seberang jalan. Tetapi pastikan kereta dikunci sebaiknya dan mempunyai steering lock kerana banyak juga kes kecurian kenderaan di sini.

Tips di Pasar Malam Wakaf Che Yeh
  • Jika ingin merasai pemandangan pasar malam yang sangat meriah, memang disyorkan ke sini.
  • Pelbagai ragam penjual dan pembeli boleh dilihat. Barangan yang dibeli biasanya konsep “see and buy” dan tiada barangan spesifik yang boleh didapati di pasar ini memandangkan ia berkonsep pasar malam.
  • Purata harga di pasar ini tidaklah terlalu murah, malah ada juga barangan yang boleh dikatakan lebih mahal berbanding ditempat lain seperti jersi bola, tudung bawal asli dan toto. Tetapi anda boleh membeli belah di sini jika tidak ke tempat lain. Contohnya jika anda tidak ke Rantau Panjang atau ke Pengkalan kubor untuk membeli barangan seperti toto, boleh lah dapatkan di sini.
  • Jika ingin membeli tudung bawal asli atau pelbagai jenis kain, selain di pasar malam ini, tempat yang terbaik adalah di butik tudung yang beroperasi di lot bangunan di kawasan pasar malam ini serta di Bazar Tok Guru, atau Pasar Siti Khadijah kerana lebih banyak pilihan dan lebih selesa untuk tawar menawar berbanding di pasar malam.


ZON BEBAS CUKAI RANTAU PANJANG


Nama Rantau Panjang memang tidak asing lagi memandangkan ia adalah tempat membeli belah yang tersohor di Kelantan.Dibuka seawal jam 8 pagi hingga 6 petang. Pada waktu cuti sekolah, pekan Rantau Panjang adalah antara yang paling sibuk dan paling sesak di Kelantan. Waktu puncak adalah antara jam 11 tengahari hingga 4 petang. Pasar inilah yang paling popular dan paling sesuai jika anda ingin membeli barangan yang murah dari negara jiran, Thailand.

Bersesuaian dengan lokasinya yang bersempadan dengan Thailand, maka barang-barang yang dijual di sini adalah sinonim dengan barangan keluaran Negera Gajah Putih tersebut. Dari Toto, seluar Levi's, kasut, beg tangan, tikar, periuk, pinggan mangkuk, kain tudung dan bermacam-macam lagi termasuk la makanan dan buah-buahan.

Rantau Panjang juga merupakan pintu keluar masuk ke Thailand yang menghubungkannya dengan pekan Sg. Golok. Jadi tidak hairanlah pekan ini dipenuhi dengan kedatangan pengunjung dari Thailand yang berurusan dan membeli barang keperluan setiap hari. Pada musim cuti am atau cuti persekolahan pekan ini juga penuh sesak dengan kunjungan pelbagai lapisan masyarakat seluruh negara/pelancong asing membeli belah.

Pengisytiharan sebagai Zon Bebas Cukai pada 2002, telah menjadikannya sebagai pusat membeli-belah yang paling kerap dikunjungi pelancong setiap tahun di Kelantan. Peralatan dapur dan buah-buahan boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan membeli belah seperti Bank komersil utama, mesin ATM, money changer dan sebagainya.

Barangan yang terdapat di sini adalah sama dengan barangan yang dijual di satu lagi tempat membeli belah lain iaitu di Pengkalan Kubor. Tetapi, di Rantau Panjang terdapat lebih banyak pilihan dan sesetengah barang lebih murah dari Pengkalan Kubor.

Tips membeli belah di Rantau Panjang
  • Bawa orang Kelantan supaya lebih mudah dan senang untuk tawar menawar, ataupun mereka yang boleh ‘kecek kelate’ (cakap loghat kelantan). Kalau tiada pun tidak mengapa, anda boleh praktikkan beberapa tip yang disediakan untuk mendapatkan harga yang istimewa dan mengelakkan dari dikenakan harga tidak masuk akal.
  • Tawar menawar terus dengan tauke kedai.
  • Pergi ke kedai tumpuan yang ramai pembeli dari kalangan penduduk tempatan. Jika tidak mahu membuang masa survey harga di Rantau Panjang, cari sahaja kedai yang mana ramai pembelinya dari kalangan warga tempatan. Peluang anda berjumpa kedai paling murah sangat cerah.
  • Elakkan datang ke sini pada hari Jumaat dan Sabtu terutamanya pada waktu petang kerana pada waktu inilah waktu yang paling sesak dan sukar untuk tawar menawar, membeli pun tidak tenang dengan orang ramai, ditambah pula terik panas.
  • Masa sesuai untuk membeli-belah adalah jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Pada waktu ini pengunjung belum ramai, jadi pekedai biasanya akan melayan anda jika anda ingin merunding harga sesuatu barang. Datang lebih awal lebih baik kerana lebih banyak masa dapat diperuntukkan untuk survey segenap kedai di Rantau Panjang bagi mendapatkan harga yang terbaik.
  • Perlu diingat, pekedai letih melayan karenah pembeli untuk tawar menawar, berkomunikasilah dengan pekedai dengan berhemah dan beramah mesra lah dengan mereka.
  • Anda penat dan lapar semasa membeli belah disini? Usah risau. Anda akan dapati kedai makan sangat banyak. Anda disarankan untuk singgah dimana-mana kedai makan disini. Masakan Kelantan + Siam banyak disediakan oleh kebanyakan kedai makan. Pasti anda berasa teruja untuk mencubanya.

ZON BEBAS CUKAI PENGKALAN KUBOR

Pengkalan Kubor dikenali sebagai pusat membeli-belah dan merupakan kawasan bebas cukai yang terletak di sempadan Malaysia-thailand. Kawasan ini terletak kira-kira 35 km dari Kota Bharu.

Pelbagai barangan buatan Thailand yang sama seperti dijual di Rantau Panjang. Di sini juga anda boleh mendapat periuk dan kuali berjenama seperti Tefal, Corelle, Corningware dan sebagainya. Harga yang ditawarkan lebih kurang sama dengan harga di Rantau Panjang. Pastikan anda berkunjung ke kedai yang authorized menjual barangan ini untuk mengelak daripada terbeli barang tiruan.

Pada pukul 5.30 petang semua pembeli akan diarahkan keluar oleh pihak Kastam kerana pintu utama akan ditutup pada waktu tersebut. Pihak kastam juga lebih strict kalau anda membeli barang penuh bonet.

Tip membeli-belah di Pengkalan Kubor: 
  • Jika ke Pengkalan Kubor, tak perlu ke Rantau Panjang dan begitulah sebaliknya. Ini untuk menjimatkan masa dan wang anda. Walaubagaimanapun, jika mempunya masa yang banyak, boleh sahaja mengunjungi kedua-dua zon bebas cukai ini terutamanya pada mereka yang pertama kali datang.
  • Jika anda menginap di Kota Bharu, jarak ke Pengkalan Kubor lebih dekat berbanding Rantau Panjang. Jadi, rancanglah perjalanan anda dengan bijak.
  • Jangan lupa untuk singgah ke Pantai Genting atau Pantai Sri Tujuh selepas membeli-belah. Pantai Genting lebih meriah dan sesuai untuk berkunjung di waktu petang.
credit: come2kelantan, cutikelantan, kelantan.gov, 

Thursday, November 19, 2015

Peta Menarik Kota Bharu & Negeri Kelantan

anda boleh merujuk peta Negeri Kelantan untuk mengetahui lokasi menarik sekitar Kelantan.

Peta Negeri Kelantan
size sebenar: Peta Negeri Kelantan


Anda juga boleh merancang perjalanan di lokasi menarik sekitar Kota Bharu mengikut peta ini:

Peta Bandar Kota Bharu
saiz sebenar: Kota Bharu Town Map
kredit: kelantan.gov.my

Wednesday, November 18, 2015

Sejarah Kelantan

Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokokMelaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah pada masa dahulu.
Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi penemuan arkeologi menunjukkan kesan petempatan manusia di zaman prasejarah. Kelantan awal mempunyai perhubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Kira-kira pada tahun 1411, Raja Kumar, raja Kelantan, membebaskan negeri itu dari Siam. Beliau memakai gelaran Sultan Iskandar Shah apabila memeluk Islam. Kelantan kemudian menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pada akhir abad ke-15.
Pada 1499, Kelantan menjadi negeri vasal Kesultanan Melaka. Dengan kejatuhan Melaka pada 1511, Kelantan dibahagikan dan diperintah oleh ketua-ketua kecil. Dengan ancaman oleh Siam pada 1603, kebanyakan ketua kecil Kelantan bernaung di bawah Persekutuan Pattani Besar. Kerajaan pusat di Pattani membahagikan Kelantan kepada 4 wilayah iaitu Kelantan Timur, Kelantan Barat, Legeh dan Ulu Kelantan. Kira-kira 1760, seorang putera raja Kelantan Barat berjaya dalam penyatuan wilayah Kelantan sekarang. Tidak lama kemudian, pada 1764, Long Yunus iaitu putera raja Kelantan Timur, anak Long Sulaiman berjaya merampas takhta kerajaan dan mengisytiharkan diri sebagai Raja Kelantan. Walaubagaimanapun, dengan kemangkatannya, Kelantan dipengaruhi oleh Terengganu.
Pada 1800, Raja Muhammad mengisytiharkan diri sebagai sultan pertama Kelantan. Pada 1812, baginda melepaskan diri daripada pengaruh Terengganu dan menjadi negara ufti Siam yang berasingan. Pada 1820-an, Kelantan merupakan salah satu daripada negeri yang terbanyak penduduk serta termakmur di Semenanjung Tanah Melayu kerana berjaya mengelakkan perang dan pertikaian yang menimpa negeri-negeri di selatan dan barat. Siam terus memainkan peranan yang mustahak di Kelantan pada seluruh abad ke-19. Di bawah syarat Perjanjian British-Siam pada 1909, Siam menyerahkan tuntutan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Britain, dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah Residen British.
 
Kelantan merupakan tempat pertama di Malaya yang ditakluk oleh Jepun yang menyerangnya pada 8 Disember 1941. Semasa pendudukan Jepun, Kelantan sekali lagi dikawal oleh Siam, tetapi selepas kekalahan Jepun pada Ogos 1945, Kelantan kembali kepada pemerintahan British. Kelantan menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan bersama-sama dengan negeri lain, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.
credit: kelantan.gov.my
 ________________________________________________________________________________

Negeri Kelantan yang mempunyai seni budaya tradisional yang unik ini juga mempunyai sejarah persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M (814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada maharaja China itu.
Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Negeri Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginga Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Negeri Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Raja Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Negeri Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M).
Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran “Sultan Gombak”. Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D’Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.
Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan “Paduka Cik Siti”. Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.
Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.
Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong.
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.
Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah “kerajaan mahligai” dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).
Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar Temenggong Sultan Omar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Raja Omar mangkat pada 1721M (1132H), Baginda Long Bahar telah ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak puteri sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar adalah putera Raja Petani (Wan Daim) yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahndanya dan berkahwin dengan Raja Pah Puteri Sultan Omar dan memerintah di Sening dekat Jembal.
Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja Perempuan Patani bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Getting yang memerintah di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pendak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja Kubang Labu, dan adiknya pula Long Muhammad dilantik menjadi Raja Muda.
Kemudiannya pada 1758M, Long Pendak telah mangkat di tangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pendak membunuh isterinya Tengku Tengah iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletuskan peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dengan Long Gaffar, putera kepada Raja Reman di Hulu Perak. Dalam peperangan pada 1762M, Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. bagi mengenang jasa Long Gaffar yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh. Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan Negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.
credit: dnkelantan.wordpress.com