Wednesday, November 25, 2015

Pantai popular di Kelantan

PANTAI CAHAYA BULAN

Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan kerana ia merupakan lokasi pelancongan yang dekat dengan bandar Kota Bharu, kira-kira 10 km sahaja. Pantai ini semestinya paling popular bagi penduduk sekitar Kota Bharu dan antara destinasi pilihan yang paling mudah diakses.
Pantai ini dahulunya dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.
Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Uniknya pantai ini adalah mempunyai kawasan pesisir pantai yang panjang. Kemudahan yang selesa seperti kedai makan, gerai, tandas awam dan surau juga disediakan kepada para pengunjung.
Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional. Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.
Jika anda belum pernah menjejakkan kaki ke pantai ini, wajib datang ke sini jika anda menginap di sekitar Kota Bharu.
Tip:
1. Disepanjang jalan dari KB ke PCB terdapat banyak gerai yang menjual jagung rebus. Jangan lupa untuk membeli jagung rebus untuk di makan di PCB. Menikmati jagung panas sambil melihat keindahan pantai lebih memberi kepuasan dan menjimatkan poket.
2. Harga makanan seperti seafood dan fishball celup tepung di sini agak mahal. Beli lah dalam kuantiti yang sedikit sebagai langkah berjimat.
3. Kedai paling hujung yang paling dekat dengan pantai menjadi kegemaran penduduk tempatan kerana lebih murah dari kedai-kedai lain.
4. Jika ingin makan, pilihlah kedai yang bersih.

PANTAI TOK BALI

Terdapat pelbagai cerita tentang asal nama pantai ini, yang paling popular ialah dimana seorang nelayan berasal dari Bali, Indonesia yang memasuki perairan pantai Kelantan dengan perahu yang karam sebelum terdampar di pesisiran. Penduduk tempatan yang tinggal berhampiran menemuinya dan mempelawa nelayan dari Bali tersebut tinggal di situ untuk beberapa tahun sebelum kembali ke Bali. Dari situlah, kawasan tersebut di beri nama Tok Bali, yang merujuk kepada nelayan dari Bali, Indonesia. Sejauh mana kesahihan, tidak dapat dipastikan Pantai Tok Bali terkenal dengan kelebihannya yang tersendiri.
Tok Bali terkenal dengan terminal pendaratan ikan segar hasil tangkapan nelayan tempatan. Sebut sahaja Tok Bali, ramai warga Kelantan yang mengakui kesegaran hasil laut yang ditangkap nelayan tempatan dan hasil tangkapan juga dijual dengan harga yang berpatutan.
Selain itu, Tok Bali merupakan destinasi pelancongan yang menarik. Antara landmark utama ialah replika kapal serta jambatan melengkung kira-kira 300 meter panjang dan tinggi 100 meter bagi membolehkan bot nelayan melaluinya. Di kawasan pesisir pantai sepanjang kuala sungai itu juga merupakan lokasi sesuai untuk berkelah bersama keluarga. Pesisir pantai yang cantik disaluti pasir yang putih serta landai semestinya menarik pengunjung untuk bercuti merehatkan minda.
Ia bukan sahaja menjadi tumpuan bagi penduduk tempatan malah menjadi kemestian bagi pelancong asing untuk menikmati keindahan pantai di Tok Bali. Terdapat banyak rumah tumpangan atau resort yang indah di sepanjang pantai tok bali. Resort dan rumah tumpangan ini semua berada di pesisir pantai mengadap Laut Cina Selatan
Dari Kota Bharu Kelantan : Perjalanan dari bandar Kota Bharu ke Tok Bali mengambil masa 45 minit pemanduan dengan jarak 45 km melalui Bachok atau Pasir Puteh.

PANTAI IRAMA BACHOK

Pantai Irama terletak di pinggir Bandar Bachok dan merupakan tempat kunjungan utama penduduk Daerah Bachok dan juga penduduk Negeri Kelantan khususnya.
Pantai Irama amat meriah pada hujung minggu. ia amat sesuai untuk perkelahan keluarga dan mandi pantai. Pihak berwajib telah membina tambak batu melengkung bagi mengelakkan hakisan dari berlaku. Struktur permukaan dasar laut yang cetek dan ombak yang tidak kuat yang menjadikan kawasan ini lebih selamat untuk mandi-manda bersama keluarga dan anak kecil.
Terdapat pelbagai infrastruktur yang disediakan dikawasan pantai seperti gerai jualan, tandas awam, surau, wakaf, tempat letak kerata yang sistematik, dataran, tempat menyalin pakaian dan taman permainan kanak-kanak.
Hanya di Pantai Irama terdapat pelbagai aktiviti berbayar menarik di hujung minggu untuk semua pelawat seperti; Banana Boat, ATV, Kereta Kuda, Basikal.
Dari Kota Bharu : Perjalanan dari bandar Kota Bharu ke Pantai Irama mengambil masa 30 minit pemanduan dengan jarak 20km melalui Kota Bharu-Tawang-Bachok. Jalan masuk ke pantai irama boleh diakses sehingga di tepi pantai.

PANTAI SRI TUJUH

Pantai Sri Tujuh terletak di Tumpat,Kelantan. Ia dinamakan Pantai Sri Tujuh kerana pembentukan 7 buah teluk/lagun di sini. Ia merupakan kawasan rekreasi yang menarik kepada pengunjung terutama dari Kelantan. Pantai Sri Tujuh berhampiran dengan Pengkalan Kubur dan Stesen keretapi Tumpat.
Tarikan utamanya bagaimanapun terletak pada fenomena tujuh teluk yang tidak boleh didapati di tempat lain. Daripada sebuah pantai yang sebelum ini pernah diancam hakisan teruk, pemandangan semulajadinya berubah menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar.
Lebih menarik apabila melihat kesibukan bot nelayan yang berlepas ke laut dalam untuk mencari rezeki. Waktu malam di sini bagai bermandi cahaya dengan deruan bunyi bot nelayan yang berlabuh selepas beberapa hari di laut.
Hari minggu adalah waktu paling sesak di sini apabila pelawat membanjiri kawasan pantai. Kawasan pantainya yang luas juga membolehkan pelbagai aktiviti kekeluargaan seperti sukaneka dan perhimpunan keluarga diadakan. Kedudukan pantai itu di kawasan teluk turut menjadikan perairannya begitu tenang dan sesuai untuk pelbagai aktiviti sukan air termasuk bermain bola tampar, berenang atau berkhemah.
Chalet terapung umpamanya memberikan anda pemandangan indah perkampungan nelayan berdekatan. Bayu laut yang bertiup lembut memberikan udara nyaman tanpa perlu menggunakan penghawa dingin.
Pesisir pantai yang cantik dan tenang ini sangat sesuai untuk kawasan rekreasi keluarga, rombongan dan tempat kursus. Ia dibangunkan oleh pihak Majlis Daerah Tumpat dengan prasarana dan kemudahan seperti chalet, asrama, taman permainan, tandas awam, kedai makan, restoran, dewan serbaguna dan masjid.
Dari Kota Bharu : Perjalanan dari bandar Kota Bharu ke Tumpat mengambil masa 20minit pemanduan dengan jarak 15km.
kredit:caridestinasi.com, mdbachok.gov.my,cutikelantan.com

No comments:

Post a Comment